بسم الله الرحمن الرحيم

" Dan kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut(kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:(iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali". Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai kebaikan dari tuhan mereka serta rahmatNYA, dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNYA"
(Al Baqarah:155-157)


Menerusi ayat ini kita dapat memahami bahawa siapa sahaja yang mengucap dua kalimah syahadah pasti akan diuji dengan kesusahan agar pegangan hati mereka bertambah kukuh dan kuat, kerana kesusahan dan penderitaan itulah yang dapat merangsang segala kekuatan dan daya tenaga mereka yang terpendam dan tersimpan. Ia juga dapat membuka pintu-pintu dan lorong-lorong rahsia di dalam hati yang tidak dapat diketahui oleh seorang mukmin kecuali dia berada di bawah tekanan kesusahan dan penderitaan.

Bala pada asalnya boleh jadi baik dan boleh jadi buruk. Allah pasti menguji orang mukmin untuk mengetahui orang yang mujahid dan sabar sehingga layak menerima balasan, sebagaimana umat terdahulu. Sa'id bin Jubir berkata : "Sesungguhnya dikurniakan kepada ummah ini ketika musibah sesuatu yang tidak dikurniakan kepada mana-mana nabi sebelum ini iaitu ayat istirja' ".

Sebenarnya orang Islam yang berjaya sentiasa bersifat positif dan dihiasi dengan sifat mahmudah dalam kehidupan mereka. Inilah yang membawa kejayaan. Dr. Aidh al-Qarni dalam kitabnya "La Tahzan" berkata "Sekiranya seseorang itu memberikan kepadamu segelas perahan limau masam maka ambillah segenggam gula dan kacau padanya maka natijahnya menjadi manis dan lazat diminum". Allahu Akbar..Sesungguhnya Allah itu maha HEBAT..Maha mengetahui sesuatu..Tiap yang terjadi itu pasti ad hikmahnya dan setiap kesulitan itu pasti ada jalan keluarnya.

Mudah-mudahan kita menjadi umat terbilang dan sanggup menghadapi cabaran hidup. Ingatlah, dunia merupakan medan ujian bagi mengesahkan dan menapis hakikat perhambaan. Jika berjaya nescaya bahagialah. Sebaliknya jika rebah, nescaya rugilah. Sesungguhnya amatlah besar ganjaran ALLAH terhadap orang yang sabar sehingga dikurniakan tiga keistimewaan iaitu selawat, rahmat dan hidayah dari ALLAH. ..

0 comments:

Post a Comment